KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjangkakan pertembungan sengit menentang Palestin bagi aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Cklamovski berkata, perlawanan itu merupakan ujian getir buat Harimau Malaya untuk menguji keampuhan taktikal yang diterapkan ketika berdepan pasukan yang agresif.
Katanya, tidak dinafikan pasukan yang mendapat julukan Lions Of Canaan dibarisi pemain yang berbakat, namun percaya anak buahnya mampu mempamer aksi bertenaga bahkan mengejutkan lawan.
Pengendali kelahiran Australia itu menggesa para pemain mengekalkan gaya permainan yang meyakinkan seperti yang ditunjukkan ketika menewaskan Singapura 2-1, Khamis lalu.
“Pada aksi berdepan Singapura, pasukan bermain dengan baik apabila mendominasi perlawanan, kita mempunyai 20 percubaan berbanding lima yang dimiliki lawan.
“Saya percaya pemain mampu mengekalkan momentum itu pada perlawanan menentang Palestin, walaupun siapa juga pemain diturunkan, saya percaya mereka dapat beraksi dengan baik,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan semalam.
Dalam pada itu, pengendali berusia 47 tahun itu menuntut pemain memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan dan tidak merancang untuk bereksperimentasi bagi berdepan pasukan di ranking ke-98 dunia, sebaliknya kekal dengan strategi yang digunakan.
“Ini peluang terbaik untuk menguji diri menentang lawan yang sukar. Justeru, pemain perlu fokus pada permainan sepasukan, cuba mempamer aksi terbaik dan mencari ruang menjaringkan gol,” katanya.