Saudara Pengarang,
Mungkin ramai yang tidak percaya di bandar raya Shah Alam, Selangor yang merupakan sebuah kawasan yang pesat membangun masih terdapat jalan-jalan yang sepatutnya berada dalam keadaan baik, tetapi dibiarkan tanpa pengurusan termasuk garisan yang sudah pudar warnanya.
Keadaan ini menyusahkan para pemandu, malah ada antaranya boleh menyebabkan kemalangan.
Berdasarkan pengamatan penulis selama beberapa tahun lalu, masih terdapat garisan jalan dan bonggol yang sudah pudar warnanya di beberapa lokasi di Shah Alam yang menyusahkan pengguna terutama pada waktu malam.
Salah satu contoh bonggol dan garisan jalan di Jalan Ilham U2/14, Seksyen U2, Taman TTDI Jaya perlu dicat semula kerana sudah pudar dan membahayakan pengguna jalan raya di kawasan itu.
Jalan yang panjangnya sejauh lebih kurang 600 meter itu mempunyai empat buah bonggol.
Penduduk di kawasan itu berasakan isu ini tidak seharusnya berlaku memandangkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) adalah pihak berkuasa tempatan yang diberikan penarafan lima bintang pada setiap tahun.
Tambahan pula, bandar raya ini di bahagikan kepada 24 zon dan setiap zon mempunyai seorang Ahli Majlis yang dilantik oleh MBSA.
Untuk rekod, MBSA juga telah menubuhkan sebuah Task Force Aduan MBSA pada 9 Februari 2022 yang ditugaskan untuk membuat pemantauan terhadap aset-aset MBSA.
Diharapkan agar pihak MBSA dapat mengecat semula garisan jalan dan juga bonggol yang pudar dengan cat baharu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Kamaruddin Hassan
Seksyen 8, Shah Alam,
Selangor