HELSINKI – Ahli Parlimen Finland, Anna Kontula mendedahkan bahawa beliau pernah menjadi pekerja seks selama bertahun-tahun sebelum menceburi bidang politik, lapor portal berita RT News semalam.
Dalam satu temu bual bersama akhbar Helsingin Sanomat (HS) yang diterbitkan kelmarin, Anna berkata, beliau tidak malu dengan pengalaman itu, malah menambah, ia telah membantu membentuk kerjaya politiknya.
Anna, 48, kini sedang berkhidmat bagi penggal keempatnya di Parlimen Finland.
Walaupun sudah lama memperjuangkan hak pekerja berkenaan, beliau sebelum ini tidak pernah bercakap secara terbuka mengenai pengalaman peribadinya.
Anna memberitahu HS bahawa beliau mula bekerja sebagai teman sosial berbayar ketika berumur 16 tahun lagi semasa tinggal di asrama pelajar.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana kesempitan kewangan dan rasa ingin tahu.
Pada tahun 2002, beliau bersama-sama menubuhkan kesatuan pekerja terbabit, SALLI dan menerbitkan artikel yang mencabar persepsi umum terhadap industri tersebut.
Namun, ahli psikologi perundangan tempatan, Pia Puolakka menyifatkan pendedahan itu membimbangkan kerana Anna menggambarkan pekerja terbabit adalah seperti pekerjaan biasa yang lain.
Pia berkata bahawa menormalkan pekerja berkenaan tidak menjadikan masyarakat lebih bebas atau lebih adil. – AGENSI