KOTA BHARU – Seramai 53 daripada 740 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dikenal pasti tidak memiliki kemahiran berenang.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, jumlah tersebut mencatatkan pengurangan berbanding 88 anggota dan pegawai bomba yang didapati tidak mempunyai kemahiran tersebut sebelum ini.
Menurutnya, pengurangan jumlah itu berhasil selepas anggota dan pegawai yang terlibat menjalani latihan berenang secara lebih intensif.
“Anggota dan pegawai terbabit telah dihantar untuk menjalani program latihan berenang agar memiliki kemahiran tersebut.
“Meskipun berenang bukan merupakan syarat utama untuk menjadi anggota bomba, kemahiran itu perlu ada. Bukan setakat boleh berenang, anggota perlu pandai berenang seterusnya menjadi responden pertama atau penyelamat awal ketika musim banjir,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Utama JBPM Tunjong di sini hari ini.
Farhan Sufyan memberitahu, latihan berenang secara berterusan dilihat dapat mengurangkan jumlah anggota dan pegawai JBPM Kelantan yang tidak memiliki kemahiran tersebut.
Menurutnya, justeru, JBPM Kelantan menyasarkan semua 740 anggota dan pegawai bomba di negeri ini boleh berenang pada tahun ini.
“Berdasarkan kajian, terdapat sesetengah anggota dan pegawai tidak boleh berenang disebabkan masalah kesihatan.
“Keupayaan anggota bomba bukan sahaja boleh memadam kebakaran atau operasi menyelamatkan di tempat tinggi, mereka juga perlu pandai berenang,” katanya. – KOSMO! ONLINE