fbpx
SEORANG pelajar mengundi di SMK Astana di Kuantan hari ini. Foto oleh MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI/KOSMO!

4,210 pelajar tingkatan enam mengundi di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seramai 4,210 pelajar tingkatan enam di 37 buah Pusat Tingkatan Enam (PTE) di 11 daerah negeri ini mengundi bagi memilih Perwakilan Tingkatan Enam buat julung kali yang dilakukan secara besar-besaran seluruh negara.

Proses pengundian yang dipantau oleh Akademi Suruhanjaya Pilihan Raya itu bermula dengan taklimat diikuti proses mengundi pada pukul 9.15 pagi secara berperingkat yang dijangka tamat pada pukul 1 tengah hari.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana di sini mendapati proses pengundian berjalan lancar dan prosedur pengundian dilakukan sepertimana pilihan raya umum.

Pengarah Pendidikan Pahang Ahmad Zamri Md Isa berkata, pengundian yang dilaksanakan di 37 buah sekolah di Pahang hari ini berjalan lancar dan calon terlibat telah diberi peluang untuk berkempen dan mengemukakan manifesto masing-masing.

“Proses ini juga adalah proses pembelajaran sebab pelajar tingkatan enam belajar pengajian am yang mendedahkan mereka kepada prinsip demokrasi pilihan raya, konsep pengasingan kuasa, jadi itu sebahagian pembelajaran mereka.

“Melalui pengalaman sebenar ini, murid bukan sahaja memahami teori demokrasi, malah dapat mengaplikasikan konsep pilihan raya, perwakilan dan tanggungjawab kewarganegaraan
dalam kehidupan seharian,”katanya selepas meninjau perjalanan pengundian di SMK Astana di sini hari ini.

Tambahnya, pemilihan ini tidak terhenti di peringkat sekolah kerana akan disusuli pemilihan peringkat daerah dan peringkat negeri seterusnya ke peringkat kebangsaan.

Dalam pada itu katanya, langkah itu juga dapat memupuk amalan demokrasi dalam kalangan murid dan melatih mereka untuk membuat keputusan secara kolektif, serta memperkukuh keterampilan diri sebagai pemimpin pelapis.

Justeru katanya, usaha itu secara tidak langsung menyokong hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan sosial, serta berperanan sebagai warganegara yang berdaya saing.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN