SEREMBAN – Seramai 11 lelaki tempatan masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah menipu dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tidak wujud bulan lalu.
Mereka ialah Willie Ngam Tee Heng, 41, Lai Wen Bin, 21, Chee Juen Hoe, 36, Vincent Lim Liang Yik, 22, Jerry Teo Chee Ming, 22, Sim Wee Yung, 27, Chin Chye Fui, 34, Tan Wen Wah, 26, Yong Wai Chuan, 20, Chan Zi Cheng, 19, dan Jaydi Requiron Teh, 25.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli. Mahkamah menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh-tertuduh tersebut gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama telah berpakat untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tidak wujud kepada mangsa.
Perbuatan itu mendorong mangsa untuk menyerahkan wang kepada mana-mana orang yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kesalahan dilakukan pada pukul 2.24 dan 2.30 petang di sebuah kafe dan sebuah premis di Pusat Dagangan Seremban 2 di sini pada 26 Ogos lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.- KOSMO! ONLINE