KOTA BHARU – Kes lemas sehingga meragut nyawa di Kelantan mencatatkan jumlah yang membimbangkan apabila seramai 109 mangsa terkorban sejak 2020 hingga tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, jumlah itu meningkat setahun tahun dan sebanyak 20 kes kejadian lemas melibatkan 17 kematian dicatatkan sepanjang tahun ini.
“Jumlah itu amat membimbangkan apabila sudah 17 nyawa terkorban sehingga 6 September lalu. JBPM Kelantan sentiasa memberi kesedaran kepada orang ramai memastikan kejadian itu tidak berulang.
“Orang ramai perlu berhati-hati menjelang musim cuti sekolah ini dengan mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Utama JBPM Kelantan, Tunjong di sini hari ini.
Farhan Sufyan memberitahu, meskipun masih dalam tempoh Monsun Barat Daya, orang ramai perlu peka dengan perubahan cuaca apabila kerap berlaku hujan sejak kebelakangan.
“Berhati-hati semasa melakukan aktiviti riadah di jeram atau sungai yang berisiko kepada kejadian kepala air terutamanya di Jeli dan Kuala Krai. Kawasan pantai di Bachok pula yang dikenal pasti sebagai lokasi yang berisiko kerana banyak kejadian lemas dilaporkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE