fbpx
TANGKAP layar video kemalangan melibatkan dua motosikal URB dirempuh pemandu mabuk di Kilometer 8, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Johor Bahru awal pagi tadi.

[VIDEO] Pemandu Audi mabuk langgar motosikal URB, seorang anggota cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu kereta mewah jenis Audi A6 diberkas selepas dipercayai merempuh dua motosikal anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Kilometer 8, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, dua anggota polis berusia 29 dan 36 tahun sedang bertugas mengawal lalu lintas di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, salah seorang anggota polis cedera di kaki kiri dan dikejarkan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, manakala seorang lagi selamat tanpa kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Skudai itu disyaki hilang kawalan sebelum melanggar dua motosikal jenis Kawasaki EX250 milik URB yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.

“Seorang daripada mereka cedera di kaki kiri dan dirawat di HSA. Seorang lagi anggota dan pemandu kereta tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Balveer Singh berkata, ujian pengesanan alkohol yang dijalankan mendapati pemandu kereta mabuk, namun bebas dadah.

Katanya, suspek direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah.

Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000 selain lesen memandu digantung selama 10 tahun.

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Azlina Abdul Raof di talian 019-7432966. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI