SHAH ALAM – “Saya tidak terganggu dengan apa yang berlaku dan akan terus galas tanggungjawab sebagai Presiden.”
Itu kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan insiden kekecohan ketika beliau berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu di sini, malam tadi.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, beliau secara realitinya tidak mengetahui apa yang berlaku.
“Saya tidak berapa pasti. Saya (pada waktu itu) di atas pentas tengah fokus (menyampaikan) ucapan saya.
“Tanggungjawab sebagai Presiden parti dan mengetuai Perikatan Nasional (PN) akan terus saya pikul.
Jadi sebab itu, saya tak terganggu dengan apa yang berlaku,” katanya pada sidang akhbar.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan suasana PAT kelapan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) itu bertukar kecoh apabila berlaku insiden provokasi oleh beberapa individu.
Insiden kira-kira pukul 10.20 malam itu berlaku ketika Muhyiddin berucap memaklumkan mengenai individu cuba kutip tandatangan untuk menjatuhkan Presiden.
Mengulas lanjut, kata Muhyiddin , pihaknya akan mendapatkan laporan daripada petugas keselamatan mengenai insiden itu bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE