NEW YORK – Pemain No.2 dunia, Carlos Alcaraz semakin hampir dalam memburu gelaran Grand Slam keenam selepas meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir pada kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung awal pagi semalam, pemain Sepanyol itu tidak banyak berdepan masalah untuk menewaskan pemain Serbia, Novak Djokovic menerusi keputusan 6-4, 7-6, 6-2.
Alcaraz berkata, aksi yang ditampilkan pada perlawanan itu tidak seperti diharapkan, namun dia tetap gembira kerana berjaya melangkah ke final Terbuka AS kedua dalam kariernya.
“Secara jujur, aksi yang ditampilkan pada hari ini (semalam) tidak seperti diharapkan kerana masih jauh dengan prestasi terbaik tetapi saya gembira kerana dapat melangkah ke perlawanan akhir.
“Saya cuba kekal tenang sepanjang perlawanan walaupun tekanan cukup tinggi berdepan pemain seperti Djokovic. Sejak awal hingga akhir perlawanan, saya cuba untuk keluarkan permainan sebenar,” katanya.
Sementara itu, Djokovic yang merupakan pemenang 24 kali Grand Slam menjelaskan, dia semakin berdepan dengan kekangan fizikal biarpun mengakui sudah menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.
“Saya gembira dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan hari ini (semalam) tetapi anda semua pun tahu ia sangat fizikal. Saya sudah beritahu mengenai perkara ini sejak suku akhir lagi,” ujarnya. – AGENSI