PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki negara menutup kempen Piala Asia 2025 di Rajgir, Bihar dengan meraih tempat ketiga selepas menewaskan China 4-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga, sebentar tadi.
Kemenangan itu sekurang-kurangnya memastikan Speedy Tigers tidak pulang tangan kosong, namun masih gagal menepati sasaran lebih besar untuk menamatkan saingan di kelompok dua terbaik bersama India, sekali gus layak automatik ke Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda.
Malaysia bermula garang apabila Norsyafiq Sumantri meledak pukulan sudut penalti (PC) seawal minit kelapan, sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menambah dua gol padang pada minit ke-36 dan ke-50 untuk mendahului 3-0.
China cuba bangkit menerusi jaringan Gao Jiesheng pada minit ke-54, namun Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan memastikan kemenangan bergaya dengan gol keempat pada minit ke-59.
Meskipun menutup kempen dengan kemenangan, kegagalan menjejakkan kaki ke final tetap menunjukkan jurang jelas yang perlu ditutup untuk bersaing dengan gergasi Asia seperti India dan Korea Selatan.
Secara keseluruhan, pencapaian di Bihar boleh dianggap sederhana, menewaskan China memberi sedikit kelegaan tetapi laluan kelayakan yang lebih mencabar menanti jika Malaysia mahu ke Piala Dunia 2026.
Sebagai rekod, hanya juara Piala Asia diberikan slot automatik ke Piala Dunia yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 30 Ogos 2026 di Belgium dan Belanda.
Pencapaian terbaik Speedy Tigers dalam sejarah Piala Asia kekal sebagai naib juara, masing-masing pada edisi 2017 di Dhaka dan 2022 di Jakarta. – KOSMO! ONLINE