PETALING JAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa beliau dari dulu tidak bersetuju penebusan bantuan kerajaan oleh rakyat dibuat menggunakan kad pengenalan.
Ahli Parlimen Pandan tersebut berkata, beliau telah lama menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu kerana ia sesuatu yang rumit untuk dilaksanakan.
“Ramai tanya kenapa saya dari awal lagi tak berapa setuju kalau bantuan guna IC (kad pengenalan) untuk tebus di kaunter.
“Saya dah suarakan kebimbangan ini lama dulu, bila kita pakai sistem sebegitu, operasi di lapangan memang rumit.
“Seperti dilaporkan, sistem terminal pembayaran melalui MyKasih jadi perlahan sebab lonjakan transaksi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Baru-baru ini tular beberapa rakaman di platform media sosial memaparkan lambakan troli yang berisi barangan ditinggalkan berhampiran dengan kaunter di beberapa buah pasar raya.
Masalah berpunca dari sistem MyKasih yang tergendala menyebabkan transaksi wang Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bernilai RM100 yang dikreditkan ke dalam MyKad rakyat tidak dapat diproses di kaunter pembayaran.
Rafizi berkata, pandangan beliau adalah jelas iaitu lebih baik bantuan kerajaan kepada rakyat dibuat menerusi pindahan tunai berdasarkan rekod PADU.
“Ia lebih mampan, lebih senang untuk rakyat dan kurang terdedah kepada masalah teknikal. Yang penting, bantuan sampai,” katanya. – KOSMO! ONLINE