PETALING JAYA – Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 bukan penyelesaian tunggal oleh kerajaan dalam membantu rakyat.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebaliknya salah satu langkah bagi menangani tekanan hidup rakyat.
“Pemberian Sara RM100 bukan penyelesaian tunggal, tetapi salah satu langkah bagi menangani tekanan hidup rakyat.
“Selain mengangkat taraf ekonomi golongan rentan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, kerajaan mengumumkan pemberian ‘one-off’ RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas di bawah program Sara.
Inisiatif itu memberi manfaat kepada 22 juta rakyat menjadikan peruntukan keseluruhan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara tahun ini mencecah RM15 bilion.
Pelaksanaan bantuan penghargaan Sara RM100 tidak tertumpu kepada pasar raya besar sahaja, tetapi turut merangkumi kedai runcit dan pasar raya di kawasan luar bandar.
Semalam, Anwar memaklumkan, prestasi sistem pelaksanaan bantuan penghargaan Sara kini berjalan dengan baik dan lancar walaupun timbul sedikit masalah pada awal pelaksanaannya.
Menurut beliau, sebarang ikhtiar atau dasar baharu berkaitan sistem bantuan berkenaan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2026. – KOSMO! ONLINE