Koko Malaysia semakin mendapat tempat di pentas dunia dan kini ia diraikan dalam bentuk festival berskala besar menerusi penganjuran Tastefully Food Expo 2025.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Selangor pada 5 September sehingga 7 September ini, acara tersebut bukan sahaja mempertemukan pemain industri makanan tempatan dan antarabangsa, tetapi juga menonjolkan koko sebagai kebanggaan negara dalam dunia kulinari global.
Para pengunjung berpeluang merasai sendiri seleksi pastri, pencuci mulut berasaskan koko serta inovasi produk makanan terkini.
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr. Ramle Kasin berkata acara tersebut merupakan salah satu usaha dalam mempromosikan produk koko tempatan.
“Acara ini adalah kali ketiga diadakan, yang merupakan kerjasama Lembaga Koko Malaysia di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi, untuk mempromosikan koko bersama Tastefully Malaysia Sdn. Bhd.
“Bersama Tastefully Malaysia, kami menjayakan satu lagi bentuk program promosi supaya lebih banyak penggunaan koko dan coklat dalam confectionery,” katanya.
Ramle menambah pihaknya berhasrat untuk terus membuat promosi di peringkat domestik dan juga antarabangsa, berkenaan penggunaan serta khasiat yang ada dalam produk koko.
Lebih daripada 200 reruai pelbagai jenama makanan tempatan dan antarabangsa turut serta dalam ekspo tersebut.
Bagi tahun ini, ekspo tersebut mengetengahkan dua tema utama yang berlangsung serentak iaitu ‘Pastry & Cocoa Festival: A Journey with Malaysia Cocoa’ dan ‘Taste of Malaysia: Eat, Explore, Experience’.