KOTA TINGGI – Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli dijangka dibawa ke dalam persidangan Parlimen pada Oktober ini selepas mendapat persetujuan Kabinet.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau berharap sesi penerangan berkenaan rang undang-undang itu akan dapat diselesaikan pada September ini.
“Kita harap bulan 9 ini kita boleh selesaikan ‘roadshow’ yang kita hendak buat dan kita harap kita boleh mendapat keputusan Kabinet pada hujung September ataupun awal Oktober supaya rang undang-undang ini kita boleh bawa ke dalam persidangan Parlimen untuk bulan Oktober, November dan Disember bagi persidangan yang terakhir ini.
“Saya harap saya boleh dapat bawa rang undang-undang ini kurang daripada 6 bulan,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan 2025 Asean Convention On Legal Aid For Children di Desaru Coast Conference Center, di sini malam ini.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi tempoh enam bulan kepada Azalina untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli.
Katanya, kertas cadangan itu, hanya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas Azalina mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE