SHAH ALAM – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden kekecohan dan provokasi pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat ketua keselamatan parti itu, pukul 12.18 tengah malam tadi.
Katanya, pengadu yang bertugas ketika kejadian melihat dua individu lelaki yang juga ahli Bersatu bangun dan menjerit mengganggu sesi ucapan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
“Pengadu kemudian pergi ke arah salah seorang lelaki itu bagi menenangkannya namun telah ditarik sehingga jatuh dan berlaku kekecohan di dalam dewan.
“Kejadian itu berjaya dikawal dengan baik oleh beberapa ahli lain dengan membawa keluar kedua-dua lelaki itu dari dewan dan perhimpunan berjalan seperti biasa,” katanya hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan suasana PAT kelapan itu bertukar kecoh apabila berlaku insiden provokasi oleh beberapa individu ketika Muhyiddin berucap memaklumkan mengenai individu cuba kutip tandatangan untuk menjatuhkan Presiden. – KOSMO! ONLINE