fbpx
PRESIDEN PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill (tengah) bersedia untuk menjalankan siasatan berhubung isu keselamatan.

PKBM siasat isu keselamatan penganjuran LLR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi jaminan bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung aspek keselamatan penganjuran Langkawi Legendary Ride (LLR) selepas seorang pesertanya maut terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Muda, Langkawi, semalam.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah terhadap insiden yang menimpa keluarga mendiang Low Beng Seng dan menegaskan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihaknya dari sudut pelaksanaan keselamatan.

“Pertama sekali, bagi pihak PKBM, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Perkara seumpama ini sangatlah kami tidak mahu ia berlaku (kerana ia melibatkan kematian).

“Kami tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut dan biarlah pihak polis melakukan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saya difaham ada video kemalangan tersebut sudah tular.

“Bagaimanapun, biarlah pihak polis yang siasat. Cuma, di pihak PKBM kami mahu melakukan siasatan dari segi aspek keselamatan.

“Saya pasti semua peserta yang mengambil bahagian mahukan kejohanan yang diadakan dalam keadaan yang selamat untuk pelumba berlumba di jalanraya dan menepati syarat seperti adakah marshall dan serta kawalan polis yang mencukupi sepanjang perlumbaan berlangsung untuk memastikan persekitaran yang selamat.

“Saya rasa ada sesuatu yang berlaku yang tidak sepatutnya berlaku. Inilah yang kami mesti siasat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Low Beng Seng, 28, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa berkayuh bersama beberapa peserta lain di kelompok belakang sebelum dipercayai mengelak daripada bergesel dengan pelumba bersebelahan sebelum menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah hadapan.

Penganjuran LLR yang kini memasuki edisi kelima sejak 2019 dikatakan telah berjaya menarik penyertaan lebih 1,200 peserta dalam tiga kategori perlumbaan iaitu 101km, 68km dan 30km.

Sehubungan itu, Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, PKBM sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dalam semua penganjuran acara berbasikal termasuk pematuhan terhadap peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Beliau turut mengingatkan semua penganjur kejohanan, termasuk acara bersifat rekreasi atau jambori, agar mendapatkan kelulusan rasmi dan pengiktirafan (sanction) daripada PKBM sebelum menganjurkan mana-mana acara berskala besar. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI