KUALA LUMPUR – Rahsia sebuah hotel tiga bintang di Jalan Ipoh yang dijadikan pusat hiburan warga asing terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu Operasi Khas, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bermula kira-kira pukul 8.45 malam itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama dua minggu.
Menurutnya, seramai 37 individu berusia lingkungan 19 hingga 61 tahun ditahan melibatkan dua lelaki warga Myanmar, India (1) dan Indonesia (2).
Katanya, turut ditahan 17 wanita Indonesia, Thailand (9), Vietnam (6) dan Laos (1).
“Pemeriksaan awal mendapati enam wanita Thailand, Vietnam (3), Indonesia (2) serta Laos (1) menyalahgunakan pas lawatan masing-masing.
“Selain itu, seorang lelaki Indonesia dikesan tinggal lebih masa manakala 24 individu lain didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Turut dirampas ialah salinan perjanjian kerja, enam pasport Thailand, tiga pasport Vietnam, tiga pasport Indonesia dan satu pasport Laos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan itu adalah menjadikan hotel terbabit sebagai pusat pelacuran warga asing sejak September tahun lalu.
“Pelanggan boleh memilih wanita melalui aplikasi WhatsApp atau secara ‘walk in’ dengan bayaran RM250 hingga RM400 sejam,” jelasnya.
Tambahnya, enam wanita Thailand, Vietnam (3), Indonesia (2) dan seorang wanita Laos ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Susulan itu, dua lelaki Myanmar, seorang lelaki India, 15 wanita Indonesia, Vietnam (3) dan Thailand (3) disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang lelaki Indonesia disiasat di bawah Seksyen 15(4) akta sama.
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala tujuh lelaki tempatan turut diberi notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE