fbpx
Azam pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Balai Raya Kampung Terentang, Kuala Pilah Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani), hari ini. - Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN / KOSMO!

Perincian ‘banyak’ kes berprofil tinggi Selasa ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal memperincikan beberapa kes berprofil tinggi termasuk kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Selasa ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perincian berkenaan bagi memastikan orang ramai tidak tertanya-tanya mengenai perkembangan terkini kes-kes besar yang kini dalam siasatan pihaknya.

“Saya telah janjikan sidang media pada 9 September ini membabitkan rangkuman banyak kes-kes yang berprofil tinggi termasuk Ops Sikaro, Projek Lebuh Raya MEX II, kes melibatkan Sapura Energy, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan lain-lain kes besar.

“Semua kes-kes ini (termasuk tertunggak) akan saya kongsikan perkembangan terkini siasatan. Saya tidak mahu masyarakat melihat seolah-olah SPRM melengahkan siasatan. Saya ingin tekankan, banyak kes (siasatan) kita pergiatkan dan percepatkan, kebanyakkan telah diambil tindakan punitif.

“Bukan sahaja dituduh di mahkamah termasuk didenda, dimuktamadkan dan diambil tindakan dalaman jabatan dan sebagainya. Macam Ops Sikaro, kita lihat banyak wang yang diperoleh hasil daripada aktiviti-aktiviti haram melibatkan beratus-ratus akaun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Balai Raya Kampung Terentang sempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani), di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan kes membabitkan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau menyatakan siasatan kes berkenaan telah selesai.

Menurutnya, kes kini telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan cadangan untuk dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Untuk rekod, bagi kes DBKL berkenaan, SPRM telah menahan tiga individu melibatkan seorang pegawai kanan gred Jusa B, seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam, bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam rasuah sejak 2014. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN