PETALING JAYA – Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) memperoleh potensi pelaburan bernilai RM450 juta melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Belanda baru-baru ini.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, potensi pelaburan yang diperoleh adalah bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan jentera, mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi peneraju teknologi Eropah.
Beliau berkata, pelaburan berpotensi itu dijangka meningkatkan asas pembuatan berteknologi tinggi negara, mewujudkan pekerjaan mahir, dan meningkatkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, dan aplikasi Industri 4.0.
“Misi ini memperkukuh hubungan ekonomi yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Belanda.
“Dengan penyelarasan bersama rakan strategik kita dari Belanda dan menarik pelaburan berpotensi bernilai RM450 juta, kita dapat mempercepatkan usaha di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan mendekatkan lagi sasaran RM500 bilion pelaburan semikonduktor dan E&E bernilai tinggi menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semasa misi itu, Tengku Zafrul turut bertemu Brabant Regional Development Cooperation, East Netherlands Development Agency dan Brainport Industries yang juga pemacu utama agenda pembangunan semikonduktor di Belanda.
Beliau turut mengulangi kebolehpercayaan Malaysia sebagai hab di Asia Tenggara untuk rantaian bekalan syarikat Eropah dalam semikonduktor, elektronik, kejuruteraan ketepatan, automasi dan sektor berkaitan.
Katanya, lawatan ke Belanda itu turut menampilkan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi Industri Semikonduktor oleh Tengku Zafrul dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Belanda Vincent Karremans di The Hague 5 September lalu.
“Perjanjian itu bakal memperkukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
“MoC itu juga menyokong objektif kita untuk meletakkan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya. – KOSMO! ONLINE