JERLUN – Kejadian mesin padi terjunam ke dalam sungai sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki semalam dipercayai berlaku selepas jentera yang dikendalikan remaja lain berusia 19 tahun terlajak sebelum terjunam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pukul 3.30 petang semalam, pemandunya menaiki jentera itu bersama tiga rakan berusia 16, 18, dan 20 tahun.
“Siasatan di lokasi mendapati insiden berlaku semasa remaja itu yang juga seorang pesawah memandu mesin padi bersama rakan-rakan selepas selesai menuai. Semasa menaikkan jentera itu, ia terlajak dan menjunam ke dalam sungai.
“Pemandu dan dua rakannya yang berusia 16 dan 20 tahun berjaya berenang ke tepi. Mereka ternampak mangsa yang berusia 18 tahun terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus,” katanya ketika dihubungi hari ini. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan mayat remaja lelaki yang hilang selepas mesin padi terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, Ayer Hitam petang semalam ditemukan lemas kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa terjatuh. – KOSMO! ONLINE