Ketua Aktivis dan Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan atau lebih dikenali sebagai ‘Abbe Hae’ mula mendekati gelandangan yang ‘menghuni’ Lorong Haji Taib sejak bertahun dahulu. Bermula dengan memberi infak makanan setiap Jumaat, kini lokasi itu dan kawasan sekitarnya menjadi lokasi ‘penting’ persinggahan Abbe Hae.
Bersama wartawan Kosmo! Ahad, Nur Huda Musa menyelami pengalaman ‘Abbe Hae’ mentransformasikan gelandangan di pusat transitnya di Lorong Haji Taib 1, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Apakah langkah diambil bagi menangani masalah sosial di Lorong Haji Taib, khususnya berkaitan penagihan dadah dan keselamatan keluarga?
Antara langkah awal dicadangkan ialah menjalankan proses pemutihan kawasan, khususnya di Lorong Haji Taib melalui kerjasama antara agensi kerajaan dan NGO.
Saya mengemukakan cadangan kepada MAIWP dan Alhamdulillah, mereka juga mempunyai perancangan ke arah itu.
Pemutihan ini perlu dilakukan sebagai langkah pertama kerana keadaan kawasan ini amat membimbangkan. Banyak bilik di lorong ini dihuni penagih dadah dan individu terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran. Walaupun masalah ini tidak seberat dahulu, namun ia masih wujud dan paling ketara ialah isu dadah.
Justeru, pendekatan kami cadangkan ialah memindahkan terlebih dulu golongan berkeluarga, khususnya mereka yang menerima bantuan MAIWP. Mereka seharusnya ditempatkan di kawasan lebih sesuai dan selamat.
Selain gelandangan, anda dikenali ramai melalui aktiviti membantu fakir miskin. Berapa kerap aktiviti dijalankan?
Pada mulanya, saya boleh dikatakan memberi makan kepada golongan ini hampir setiap minggu. Namun, apabila kes ini menjadi ‘viral’, saya tidak lagi dapat turun setiap minggu.
Ini kerana, semakin ramai individu dan NGO lain yang mula mengambil inisiatif membantu selepas melihat perkongsian saya di Facebook dan TikTok. Mereka ada yang bertanya lokasi, malah ada yang sudah mengetahui kawasan itu dan datang sendiri untuk memberi bantuan makanan.
Kini, fokus saya lebih kepada mendidik golongan anak-anak di sini agar mereka menjadi insan lebih baik pada masa hadapan. Walaupun tidak semua dapat saya capai, sekurang-kurangnya sebahagian kecil sudah cukup untuk memberikan harapan.
Pada awalnya, saya bergerak secara bersendirian bersama isteri, tanpa sokongan NGO selama lebih kurang enam bulan. Namun, saya rasa terpanggil untuk menubuhkan sebuah NGO bagi menggerakkan usaha ini dengan lebih teratur dan berkesan.
Sumber kewangan digunakan dalam usaha membantu golongan gelandangan?
Ramai bertanya tentang sumber kewangan saya. Sebenarnya, perkara ini agak peribadi dan percaya rezeki itu datang dari Allah dengan cara tersendiri.
Segala usaha ini bermula dengan apa yang saya ada, sedikit wang yang saya peroleh diguna untuk memulakan kerja kebajikan. Alhamdulillah, Allah sentiasa melimpah rezeki untuk membantu golongan memerlukan.
Dari segi bantuan kerajaan, saya tidak menerima sokongan kewangan secara langsung kecuali daripada MAIWP yang membantu memudahkan usaha kami, bukan dalam bentuk wang tunai. Contohnya, mereka memberikan bantuan sewaktu misi banjir besar-besaran.
Selain itu, kami juga menerima bantuan daripada Yayasan Taqwa di bawah MAIWP.
Namun, untuk misi membantu golongan gelandangan seperti menyediakan makanan, bilik, dan membayar sewa rumah itu semuanya adalah hasil usaha sendiri tanpa sokongan kewangan daripada kerajaan.
Cabaran terbesar dihadapi semasa membantu gelandangan atau yang memerlukan?
Cabaran utama sebelum ini adalah sukar bagi saya untuk berkolaborasi dengan agensi kerajaan kerana pada masa itu saya tidak dikenali dan kurang mendapat perhatian.
Oleh sebab itu, usaha untuk membantu golongan memerlukan juga agak mencabar. Saya sebenarnya tidak terlalu mengharapkan untuk dikenali, tetapi apabila nama saya mula dikenali, segalanya menjadi lebih mudah.
Sekarang, apabila saya mahu membawa kes bantuan kepada golongan memerlukan, saya hanya perlu menghubungi agensi berkaitan dan mereka memberikan respons yang pantas.
Apakah pengalaman menyentuh hati atau tidak dapat dilupakan sepanjang kerja amal?
Saya pernah melalui banyak pengalaman sangat menyentuh hati, namun satu kisah sekitar lima tahun lalu benar-benar tidak dapat saya lupakan.
Ketika itu, saya sedang berjalan di sekitar bangunan dan ternampak seorang ibu yang sedang menyusukan anak di tepi bangunan. Saya mendekatinya dan bertanya apa yang diperlukan. Jawabnya ringkas, dia hanya mahu lampin dan selimut, tetapi malam itu saya tidak dapat memberikannya, tetapi keesokan hari saya kembali dengan membawa selimut dan sedikit wang.
Saya kemudian menemaninya naik ke biliknya di Lorong Haji Taib 2. Setibanya di sana, saya melihat bilik sangat daif, hanya sebuah tilam berbau busuk dan dua orang anak kecil yang tidak berpakaian lengkap.
Ketika itulah saya menahan air mata saya. Di sudut bilik itu, saya membuka beg yang ada di tepinya dan saya dapati tidak ada pakaian mencukupi untuk mereka. Saat itu, saya terasa seolah-olah satu tamparan kepada saya kerana terlepas pandang keadaan yang sebenar.
Pengalaman ini jadi pengajaran terhebat buat saya, satu titik di mana saya sedar penting untuk lebih peka kepada mereka yang baru datang ke sini dan masih tersembunyi dalam kesusahan.














