KUALA TERENGGANU – Golongan nelayan khususnya kategori pesisir pantai dinasihatkan supaya sentiasa memakai jaket keselamatan ketika menangkap ikan di laut.
Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Hamdan Mamat berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan itu amat penting bagi mengelak insiden meragut suami isteri di perairan Kuala Merchang, Marang minggu lalu berulang.
“Sekarang musim angin selatan (Monsun Barat Daya), tak lama lagi musim tengkujuh (Monsun Timur Laut), harap semua nelayan berwaspada di laut.
“Peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan boya atau pelampung keselamatan perlu dijaga sekiranya apa-apa (kejadian) berlaku,” katanya selepas menyerahkan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 99 nelayan Terengganu di Chendering di sini hari ini.
Hamdan berkata, biarpun tugas penguatkuasaan di bawah bidang kuasa Jabatan Laut, LKIM akan memainkan peranan proaktif mengingatkan komuniti nelayan tentang aspek pematuhan SOP keselamatan di laut.
Katanya, pematuhan SOP dilihat penting biarpun ramai nelayan mengadu pemakaian jaket keselamatan menyukarkan tugas mereka untuk menangkap ikan seperti menarik pukat, bubu dan jala.
“Kita sedia maklum apabila pakai jaket keselamatan, dari segi pengendalian (peralatan menangkap ikan) jadi masalah, tetapi kalau kita sudah biasa pakai, insya-Allah boleh diatasi,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan pasangan suami isteri, Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Norhasriah Che Osman, 46, ditemukan lemas selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik di perairan Kuala Merchang pada 31 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE