KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga emas ditahan ekoran disyaki mengugut Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu yang terlibat dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Suspek tempatan berusia 61 tahun berkenaan ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Polis sebelum ini menerima laporan tentang kenyataan di laman Facebook atas nama akaun ‘Amung Kamaruddin’ yang berunsur ugutan jenayah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan terbabit dibuat ekoran laporan polis yang diterima daripada mangsa, seorang pakar patologi HQE pada 5 September lalu
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Ia berikutan atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
“Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi daripada suspek. Hasil semakan awal mendapati telefon bimbit itu digunakan bagi mengendalikan akaun Facebook berkenaan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat, ” katanya dalam kenyataan media hari ini. – KOSMO! ONLINE