KAJANG – Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera selepas diserang seekor anjing ketika pulang dari taska di sebuah kawasan perumahan di Batu 9, Cheras, Rabu lalu, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa kini masih dirawat di Hospital Putrajaya dan dimaklumkan perlu menjalani pembedahan tambahan bagi jahitan di bahagian kulit luar kepalanya.
“Doktor juga telah memberikan ubat nyah rabies sebagai rawatan awal.
“Sama ada wujud jangkitan rabies atau sebaliknya hanya dapat dipastikan selepas keputusan analisa diterima,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikejarkan ke hospital setelah diserang dan digigit anjing ketika bermain basikal selepas pulang dari taska kira-kira pukul 5.50 petang. – KOSMO! ONLINE