KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki tempatan dalam dua kes berasingan melibatkan unsur hasutan, ugutan jenayah serta penyebaran dakwaan tidak benar yang tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan kerana dipercayai memuat naik hantaran di akaun TikTok bernama Mohd Soie (@mohd.soie3) yang mengandungi elemen hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan.
“Hantaran berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Sementara itu, bagi kes kedua katanya, seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan selepas meninggalkan komen berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri di akaun Facebook menggunakan nama Mdjohan Ngadin.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.
Menurut beliau, kesemua peruntukan undang-undang yang digunakan memperuntukkan hukuman berat termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun bergantung kepada kesalahan.
Kumar menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang membuat, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan berunsur hasutan, ugutan jenayah mahupun berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. – KOSMO! ONLINE