fbpx
Ustaz Wadi.

Ceramah Ustaz Wadi di Masjid Sri Sendayan dijadualkan semula – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Program ceramah membabitkan pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan yang sebelum ini didakwa dibatalkan akan dijadualkan semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau telah menghubungi sendiri Ustaz Wadi untuk mendapat pengesahan dan pencerahan berkenaan perkara itu.

“Sejurus itu, saya telah menghubungi pengerusi dan individu yang mewaqafkan Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Rashid Hussain. Alhamdulillah, Ustaz Wadi berlapang dada menerima undangan dan akan memilih tarikh baru yang bersesuaian.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Wadi dan Tan Sri (Rashid) bersama AJK Masjid Sri Sendayan atas kerjasama dan usaha memakmurkan masjid. Baik melalui ceramah, pembangunan, pemeliharaan mahupun aktiviti ibadah di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ustaz Wadi menerusi satu video mendakwa ceramah beliau yang bakal dilangsungkan di Masjid Sri Sendayan dibatalkan walaupun semua persiapan bagi program itu sudah diatur rapi oleh pihak terbabit termasuk pengurusan Masjid Sri Sendayan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)

Mohd. Na’im berkata, mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab semua dan beliau yakin dengan semangat ukhuwah serta kerjasama, masjid akan menjadi pusat peradaban Islam yang memberdayakan umat dan mengangkat karamah insaniah.

“Semoga Allah menerima setiap ikhtiar kita dan menjadikan masjid dan surau sebagai tempat yang penuh barakah dan rahmat-Nya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI