fbpx
GELANDANGAN didedahkan dengan program keagamaan seperti solat berjemaah di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.

Cari erti kemanusiaan di lorong hitam – Abbe Hae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik negara yang semakin membangun dan pertumbuhan ekonomi yang pesat, masih terdapat kelompok masyarakat yang hidup dalam serba kekurangan iaitu golongan gelandangan dan fakir miskin.

Kehidupan mereka jauh berbeza daripada kemajuan yang sering digembar-gemburkan, fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara membangun, malah turut wujud di negara maju. Justeru, timbul persoalan mengapa golongan ini masih wujud dan apakah usaha yang boleh dilakukan untuk membantu mereka?

Secara umumnya, gelandangan merujuk kepada individu yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap, manakala fakir miskin ialah mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar, kekurangan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Kehidupan mereka sering dihiasi dengan penderitaan, ketidaktentuan dan ketiadaan sokongan yang mencukupi. Mereka bergantung kepada ihsan masyarakat dan pertubuhan kebajikan untuk terus hidup.

Mengupas perkara ini, wartawan Kosmo! Ahad, Nur Huda Musa bertemu Ketua Aktivis dan Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan atau lebih dikenali sebagai ‘Abbe Hae’ di pusat transitnya di Lorong Haji Taib 1, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Mungkin bukan semua di luar sana biasa mendengar mengenai kisah bantuan yang diberikan oleh Jejak Jalanan. Boleh ceritakan sedikit latar belakang pertubuhan ini dan bagaimana mula ditubuhkan.

Mohamad Azhan: Kerjaya saya sebelum ini ialah sebagai pengusaha pembalakan, industri penerbangan dan juga pelombongan dan eksport biji besi. Saya mula terlibat dengan kerja-kerja kebajikan ini dengan menyalurkan bantuan kepada golongan gelandangan dan asnaf-asnaf. Bantuan ini tidak terhad di Kuala Lumpur, tetapi turut merangkumi Selangor, Sabah dan Kelantan.

Pertubuhan kami ini bermula secara tidak langsung melalui pengerusinya iaitu isteri saya sendiri yang memulakan program infak Jumaat sejak lima tahun lalu. Jadi, daripada situlah segalanya bermula dengan memberi makanan kepada golongan gelandangan, asnaf dan fakir miskin di Lorong Haji Taib ini.

Waktu itu hati saya memang tersentuh melihat begitu ramai yang tidak dapat bantuan sewajarnya hingga keadaan itu menyebabkan setiap minggu kami datang ke sini tanpa gagal untuk menghulurkan bantuan semampunya buat mereka.

Sepanjang berkecimpung dalam aktiviti kebajikan ini, apakah cabaran yang dihadapi oleh golongan gelandangan dan anak-anak jalanan berdasarkan pengalaman tuan sendiri?

Sepanjang terlibat dalam aktiviti kebajikan ini, saya menyaksikan sendiri pelbagai cabaran yang dihadapi golo­ngan gelandangan dan anak-anak jalanan. Antaranya termasuk kurangnya kasih sayang, bimbi­ngan serta pengaruh persekitaran yang kurang sihat.

Sewaktu saya mula-mula turun padang dan memberi makanan kepada mereka, saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana tingkah laku anak-anak ini agak kasar dan bahasa yang digunakan amat menakutkan.

Situasi ini menyedarkan saya bahawa mereka sangat memerlukan perhatian, bukan hanya dari segi fizikal seperti makanan, tetapi juga dari aspek emosi dan rohani.
Ketika itu, saya sering terlibat dalam pertengkaran kecil, bukan kerana mahu bermusuh, tetapi kerana mahu menunjukkan di­siplin dan batas.

Pada masa sama, saya dapat mengenal pasti beberapa anak yang berpotensi untuk terjerumus kepada aktiviti jenayah sekira tidak diberi kasih sayang dan bimbingan yang sewajarnya.

Mereka membesar di kawasan yang cukup mencabar, iaitu Lorong Haji Taib, sebuah tempat yang sinonim dengan pelbagai kisah hitam sejak dahulu lagi.

Anak-anak ini melihat dan mengalami sendiri suasana itu dan besar kemungkinan akan mengikut jejak langkah sama jika tiada perubahan dilakukan.

Boleh kongsikan bagaimana bentuk bantuan diberikan kepada mereka? Apakah aktiviti utama dijalankan bagi membantu mereka?

Sejak dari awal lagi, saya sentiasa berada di sini untuk memberikan kasih sayang dan sokongan kepada mereka. Kami selalu berbincang mengenai perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebagai salah satu usaha mendidik mereka dengan cara yang lembut dan berhemah.

Dari situ jugalah timbul inisiatif untuk me­nubuhkan pusat transit ini, yang kini menjadi ruang pem­belajaran agama bagi mereka.

Insya-Allah, tidak lama lagi akan ada beberapa unit kompu­ter bagi memboleh­kan anak-anak ini mempelajari kemahiran asas dalam bidang teknologi maklumat. Alhamdulillah, setakat hari ini saya mula nampak perubahan positif dalam diri mereka.

Baru-baru ini kami mengadakan satu mesyuarat bersama 20 agensi kerajaan, termasuk dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), salah satunya adalah saya sendiri. Dalam mesyuarat tersebut, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memaklumkan mereka akan menyewa beberapa buah rumah khas untuk menempatkan golongan yang kini masih tinggal di lorong-lorong ini.

Untuk pengetahuan semua, keadaan bilik-bilik di lorong ini sangat daif dan tidak sesuai didia­mi. Jika anda melihatnya, mungkin tidak tergamak untuk tinggal walau satu malam. Keada­annya menyedihkan, inilah sebabnya kita berusaha membuat penempatan semula ini.

Apakah langkah atau cadangan yang telah diambil bagi menangani masalah sosial yang berlaku di Lorong Haji Taib, khususnya berkaitan dengan penagihan dadah dan keselamatan keluarga?

Antara langkah awal dica­dangkan ialah menjalankan pro­ses pemutihan kawasan, khususnya di Lorong Haji Taib melalui kerjasama antara agensi kerajaan dan NGO.

Saya mengemukakan cada­ngan kepada MAIWP dan Alhamdulillah, mereka juga mempunyai perancangan ke arah itu.

Pemutihan ini perlu dilakukan sebagai langkah pertama ke­rana keadaan kawasan ini amat membimbangkan. Banyak bilik di lorong ini dihuni penagih dadah dan individu terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran. Walaupun masalah ini tidak seberat dahulu, namun ia masih wujud dan paling ketara ialah isu dadah.

Justeru, pendekatan kami cadangkan ialah memin­dahkan terlebih dulu golongan berkeluarga, khususnya mereka yang me­nerima bantuan MAIWP. Mereka seharusnya ditempatkan di kawasan lebih sesuai dan selamat.

Selain membantu gelandangan, anda juga dikenali ramai melalui aktiviti membantu golongan fakir miskin terutama di kawasan-kawasan pedalaman. Berapa kerap aktiviti itu dijalankan?

Pada mulanya, saya boleh dikatakan memberi makan kepada golongan ini hampir setiap ­minggu. Namun, apabila kes ini menjadi ‘viral’, saya tidak lagi dapat turun setiap minggu.

Ini kerana, semakin ramai individu dan NGO lain yang mula mengambil inisiatif membantu selepas melihat perkongsian saya di Facebook dan TikTok. Mereka ada yang bertanya lokasi, malah ada yang sudah mengetahui kawasan itu dan datang sendiri untuk memberi bantuan makanan.

Kini, fokus saya lebih kepada mendidik golongan anak-anak di sini agar mereka menjadi insan lebih baik pada masa hadapan. Walaupun tidak semua dapat saya capai, sekurang-kurangnya sebahagian kecil sudah cukup untuk memberikan harapan.

Pada awalnya, saya bergerak secara bersendirian bersama isteri, tanpa sokongan NGO selama lebih kurang enam bulan. Namun, saya rasa terpanggil untuk menubuhkan sebuah NGO bagi menggerakkan usaha ini dengan lebih teratur dan berkesan.

Boleh kongsikan sumber kewangan digunakan dalam usaha membantu golongan gelandangan? Adakah terdapat sebarang bantuan daripada pihak kerajaan atau pihak lain?

Ramai bertanya tentang sumber kewangan saya. Sebenarnya, perkara ini agak peri­badi dan percaya rezeki itu datang dari Allah dengan cara tersendiri.

Segala usaha ini bermula de­ngan apa yang saya ada, sedikit wang yang saya peroleh diguna untuk memulakan kerja kebaji­kan. Alhamdulillah, Allah sentiasa melimpah rezeki untuk membantu golongan memerlukan.

Dari segi bantuan kerajaan, saya tidak menerima sokongan kewangan secara langsung ke­cuali daripada MAIWP yang membantu memudahkan usaha kami, bukan dalam bentuk wang tunai. Contohnya, mereka memberikan bantuan sewaktu misi banjir besar-besaran.

Selain itu, kami juga mene­rima bantuan daripada Yayasan Taqwa di bawah MAIWP.

Namun, untuk misi membantu golongan gelandangan seperti menyediakan makanan, bilik, dan membayar sewa rumah itu semuanya adalah hasil usaha sendiri tanpa sokongan kewa­ngan daripada kerajaan.

Apakah cabaran terbesar dihadapi semasa membantu golongan gelandangan atau yang memerlukan?

Cabaran utama sebelum ini adalah sukar bagi saya untuk berkolaborasi dengan agensi kerajaan kerana pada masa itu saya tidak dikenali dan kurang mendapat perhatian.

Oleh sebab itu, usaha untuk membantu golongan memerlukan juga agak mencabar. Saya sebenarnya tidak terlalu mengharapkan untuk dikenali, tetapi apabila nama saya mula dikenali, segalanya menjadi lebih mudah.

Sekarang, apabila saya mahu membawa kes bantuan kepada golongan memerlukan, saya hanya perlu menghubungi agensi berkaitan dan mereka memberikan respons yang pantas.

Apakah pengalaman yang sangat menyentuh hati atau tidak dapat dilupakan sepanjang melakukan kerja amal ini?

Saya pernah melalui banyak pengalaman sangat menyentuh hati, namun satu kisah sekitar lima tahun lalu benar-benar tidak dapat saya lupakan.

Ketika itu, saya sedang berjalan di sekitar bangunan dan ternampak seorang ibu yang sedang menyusukan anak di tepi bangunan. Saya mendekatinya dan bertanya apa yang diperlukan.

Jawabnya ringkas, dia hanya mahu lampin dan selimut, tetapi malam itu saya tidak dapat memberikannya, tetapi keesokan hari saya kembali dengan membawa selimut dan sedikit wang.

Saya kemudian menemaninya naik ke biliknya di Lorong Haji Taib 2. Setibanya di sana, saya melihat bilik sangat daif, hanya sebuah tilam berbau busuk dan dua orang anak kecil yang tidak berpakaian lengkap.

Ketika itulah saya menahan air mata saya. Di sudut bilik itu, saya membuka beg yang ada di tepinya dan saya dapati tidak ada pakaian mencukupi untuk mereka. Saat itu, saya terasa seolah-olah satu tamparan kepada saya kerana terlepas pandang keadaan yang sebenar.

Pengalaman ini jadi pengajaran terhebat buat saya, satu titik di mana saya sedar penting untuk lebih peka kepada mereka yang baru datang ke sini dan masih tersembunyi dalam kesusahan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN