ISLAMABAD – Sebuah bot yang menyelamatkan orang ramai daripada banjir di timur Pakistan terbalik lalu membunuh seorang wanita berusia 70 tahun dan empat kanak-kanak, kata pihak berkuasa hari ini.
Hujan monsun sepanjang minggu lalu melanda tiga sungai utama yang merentasi wilayah Punjab. Ia merupakan kawasan pertanian Pakistan dan menempatkan hampir separuh daripada 255 juta penduduknya.
“Insiden itu berlaku apabila objek dalam air melanggar bot Rescue 1122,” kata ketua pengarah pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah, Irfan Ali Kathia kepada media tempatan.
“Sepuluh orang lagi berjaya diselamatkan tetapi malangnya lima orang kehilangan nyawa dalam kejadian itu,” tambahnya.
Sungai yang ditenggelami telah menjejaskan kebanyakan kawasan luar bandar berhampiran tebing, tetapi hujan lebat turut membanjiri kawasan bandar. Ia termasuk beberapa bahagian di Lahore iaitu bandar kedua terbesar negara itu.
Tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan oleh hujan monsun lebih lebat daripada biasa telah mengorbankan lebih 850 orang di seluruh negara sejak Jun lalu. – AFP