fbpx
Misbun menunjukkan hasil ubi kayu yang dimusnahkan gajah liar di RPS Pos Pasik, Gua Musang baru-baru ini. – AIMUNI TUAN LAH

‘Bila nampak, kami lari selamatkan diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Kehidupan ma­syarakat Orang Asli suku Temiar di Rancangan Pengumpulan Se­­mula (RPS) Pos Pasik di sini ter­an­cam ekoran kehadiran tiga ekor gajah liar yang memusnahkan sumber makanan seperti ubi kayu dan pisang milik mereka.

Penduduk mendakwa, tiga gajah liar sering berkelia­ran di tanah pertanian sejak setahun lalu menyebabkan ada keluarga yang terputus makanan dan terpaksa menanggung kerugian.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kam­­pung Orang Asli (JPKKOA) RPS Pos Pasik, Jimi Arifin berkata, hampir 1,000 penduduk turut bimbang dengan keselamatan nyawa apabila gajah berkenaan kerap muncul di belakang rumah serta jalan utama ke sekolah.

Katanya, penduduk tidak lena tidur dan hidup dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengawasi ke­selamatan keluarga.

“Tiga gajah liar itu masih berada di kawasan berhampiran dan mengganggu sekitar kampung sehingga memberi tekanan selain tidur malam kami terganggu.

“Kami bimbang dengan ke­selamatan anak yang masih kecil dan telah membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Seorang penduduk, Misbun Ari­fin, 44, berkata, hasil ta­naman ubi kayu yang terletak lebih 10 meter dari rumahnya juga sering menjadi sasaran gajah.

Katanya, mereka bimbang de­ngan keselamatan diri apabila kerap kali terserempak dengan gajah ketika menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai di sini.

“Kami menghantar anak dengan menunggang motosikal.

“Ramai ibu bapa bersama anak yang masih kecil terserem­pak dengan gajah itu secara ber­depan. Jadi kami terpaksa ber­patah balik dan lari untuk me­nye­lamatkan diri,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rabu Arome, 43, berkata, kehadiran gajah itu menyebabkan hidup penduduk tidak tenteram.

Katanya, penduduk terpaksa bertindak sendiri dengan berjaga malam dan menyalakan unggun api bagi menghalau gajah.

“Sudah berulang kali tanaman penduduk dimusnahkan sehingga ada yang berputus asa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai masalah gajah liar di RPS Pos Pasik.

Katanya, aduan telah dibuat kepada pihak Perhilitan dan pemantauan telah dilakukan di kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN