fbpx
KENDERAAN dipandu suspek yang membawa mayat seorang wanita di kawasan Simpang Pulai, Ipoh awal pagi tadi.

Anggota polis cedera ditikam, tembak ketika rondaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan Simpang Pulai awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi apabila sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Pulai mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Taman Desa Pakatan.

Katanya, anggota cuba menahan kereta tersebut, namun suspek bertindak memecut kenderaan untuk melarikan diri.

“Anggota kemudian mengejar suspek sebelum kenderaan dipandunya berhenti di kawasan kebun kelapa sawit.

“Dalam usaha melakukan tangkapan, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis itu sebelum suspek merampas pistol mangsa dan menembaknya di bahagian perut.

“Dalam kejadian itu, suspek turut menikam mangsa di perut sebelum dia melarikan diri bersama senjata api berkenaan,” katanya di sini hari ini.

MAYAT seorang wanita ditemui dalam kereta dipandu suspek yang menembak dan menikam seorang anggota polis di Simpang Pulai, awal pagi tadi. – Foto MEDIA SOSIAL

Menurut beliau, anggota polis berusia 26 tahun itu bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

“Mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematiannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN