KUALA LUMPUR – Suasana sebak dan gembira bercampur baur menyelubungi Kem 515, Kementah apabila ratusan pelatih baharu mendaftar diri bagi menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2025 hari ini.
Antara yang mencuri perhatian adalah seorang ibu, Robi Harun, 60, yang terpaksa melepaskan anak bongsunya, Robiatul Adawiyah Rosly, 21, untuk menjalani latihan tersebut.
“Memang rasa berat hati, sebab dia anak bongsu dan tak pernah tinggal jauh dari rumah di Bera, Pahang. Sekolah pun dari kecil sampai besar ulang-alik je, tak pernah masuk asrama. Jadi bila nak lepaskan dia ke PLKN ni, terasa jugalah,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Robi mengakui anak gadisnya itu rapat dengannya, malah banyak membantu menguruskan hal keluarga di rumah.
“Kalau ada dia, dapatlah saya rasa ringan sikit sebab dia selalu bantu. Lagipun dia ni rapat dengan kakak sulungnya juga. Tapi nak buat macam mana, dah rezeki dia terpilih, saya kena reda,” katanya.
Bagi Robiatul Adawiyah, meskipun pertama kali berjauhan daripada keluarga, dia menganggap pemilihannya ke PLKN di Kem 515, Kementah sebagai peluang berharga.
“Tak nafikan mula-mula memang rasa lain, sebab ini kali pertama saya keluar negeri. Tapi saya ambil ni sebagai pengalaman baharu. Insya-Allah, banyak benda boleh belajar kat sini, mungkin juga jadi titik tolak untuk masa depan,” ujarnya.
Katanya lagi, meskipun sukar berjauhan dengan ibunya, dia percaya pengalaman selama 45 hari di kem latihan itu bakal menjadikan dirinya lebih berdikari.
“Rasa sedih tu ada, tapi saya bersyukur sebab diberi peluang. Harap lepas tamat nanti, saya boleh jadi lebih kuat dan matang,” katanya. – KOSMO! ONLINE