MELAKA – Gara-gara ingin mengambil botol minuman terjatuh, seorang lelaki nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Myvi di Jalan Tanjung Minyak, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios berusia 36 tahun dan pemandu Myvi, seorang wanita berusia 25 tahun mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan awal, kemalangan didapati berlaku disebabkan kecuaian lelaki berkenaan apabila cuba mengambil air minuman ketika sedang memandu.
“Mangsa ketika itu dalam perjalanan dari dari Bukit Rambai ke Lorong Pandan sebelum tiba-tiba botol minumannya terjatuh.
“Dia cuba mengambil botol berkenaan sehingga kereta dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Myvi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, kemalangan itu turut menyebabkan Vios berkenaan terbakar.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE