PETALING JAYA – “Alhamdulillah, satu lagi manifesto ditepati,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, pada Pilihan Raya Umum lalu beliau berjanji untuk mewujudkan satu ‘pit stop’ buat penghantar makanan p-hailing di Segamat, Johor.
Menurut beliau, pembangunan ‘pit stop” tersebut telah pun bermula pada Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya untuk digunakan bulan depan.
“Waktu kempen PRU dulu, saya ada buat temu rapat dengan kira-kira 100 ‘rider’ makanan seperti FoodPanda dan GrabFood di Segamat khususnya di Parlimen Sekijang.
“Mereka adu kepada saya tentang ketiadaan tempat untuk mereka lepak sementara menunggu pesanan masuk. Jadi, dalam manifesto saya yang lepas, saya janji dengan mereka untuk wujudkan satu ‘pit stop’
“‘Pit stop’ ala-ala hentian rehat dan rawat (R&R) untuk mereka di kawasan Sungai Kapeh berdekatan jambatan kedua Segamat di Jalan Laksamana,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dr. Zaliha berkata, bagi merealisasikan manifesto itu, beliau mengangkat permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Majlis Perbadaran Segamat dan KPKT meluluskan peruntukan RM650,000.
“Dalam pada Kerajaan Madani menghadiahkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang telah lulus di Dewan Rakyat kepada para pekerja gig seperti ‘rider’ makanan ini, di Sekijang kita pun beri hadiah ini kepada mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE