fbpx
Yaacob beramah mesra dengan pelatih pada Sesi pendaftaran dan lapor diri bagi PLKN 3.0 Wira Muda Negara siri 3/2025, di Kem Wataniah 515, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

529 pelatih daftar diri PLKN Siri 3/2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 529 wira muda Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3 Tahun 2025 telah melaporkan diri di dua kem Askar Wataniah yang terpilih pada siri percubaan terakhir tahun ini.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 279 wira muda lelaki telah melaporkan diri di Kem 505, Pekan Pahang dan 250 wira muda wanita di Kem 515, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Yaacob Samiran berkata, program kali ini memberi penekanan kepada pembentukan generasi muda yang berdaya tahan serta bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.

“Bagi siri ketiga ini, kita menyasarkan seramai 700 peserta iaitu 240 pelatih wanita di Kem 515, manakala selebihnya melapor diri di Rejimen 505 Askar Wataniah bagi peserta lelaki.

“Menariknya, terdapat tiga pasangan kembar lelaki turut sama menyertai latihan kali ini di Pekan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, peningkatan penyertaan secara sukarela menunjukkan sambutan yang baik apabila lebih 50 peratus pelatih hadir tanpa melalui proses pemilihan komputer.

“Alhamdulillah, ada juga peserta yang tidak memberi maklum balas lebih awal, tetapi hadir secara tanggungjawab,” jelasnya.

Tambahnya, maklum balas daripada siri pertama dan kedua amat positif apabila lebih 90 peratus pelatih serta keluarga mereka berpuas hati dengan modul, kemudahan prasarana serta pengurusan kem.

Menyentuh mengenai perancangan tahun depan, Yaacob berkata pihaknya menyasarkan antara 8,000 hingga 9,000 pelatih dengan penambahan kem latihan baharu termasuk di Gemas, selain kem di Sabah dan Sarawak yang kini dalam proses naik taraf.

“Secara keseluruhan, kapasiti kita boleh mencapai sehingga 25,000 pelatih setahun. Tahun depan kita rancang membuka kem di Kuching dan Tawau yang mampu menampung 700 pelatih dalam satu masa,” katanya.

Tambahnya, pengasingan jantina masih dikekalkan bagi semua siri PLKN akan datang termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pelatih-pelatih muda yang berusia 18 tahun ke atas ini merupakan kumpulan ketiga bagi tahun 2025, selepas dua siri terdahulu dilaksanakan dengan jayanya.

Mereka akan menjalani latihan bersepadu yang menekankan aspek pembinaan jati diri, disiplin, semangat patriotik, kesukarelawanan dan asas ketenteraan ringan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI