KOTA BHARU – Siasatan semula kes pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas 12 tahun lalu diselesaikan secepat mungkin.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya sedaya upaya memastikan agar siasatan lanjut berjalan dengan lancar dan diselesaikan segera.
Menurutnya, sebarang perkembangan siasatan juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan lanjut sedang dilakukan seperti yang diminta oleh pihak keluarga mangsa. Kita akan cuba sedaya upaya agar proses itu berjalan lancar dan secepat mungkin.
“Jika ada perkembangan terkini, kita akan segera mengambil tindakan kerana mahu kes itu berakhir dengan keadilan untuk semua,”!katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara 2025 di Kampung Padang Tembak, di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE