PARIT – Rumah Kek Kampung Teluk Bakong Hulu bukan sekadar menawarkan varieti makanan dan minuman enak sejak diasaskan setahun lalu oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), malah menjadi alternatif baharu bagi penduduk menambah pendapatan.
Menurut seorang ahli JPKK kampung tersebut, Robiatul Shima Zali, 43, dengan mewujudkan sistem sokongan yang saling membantu, seramai sembilan vendor terdiri daripada dua ibu tunggal dan tujuh suri rumah termasuk wanita warga emas kini mampu tersenyum bangga dengan pendapatan bulanan yang konsisten.
“Secara berkala, peserta akan menghantar makanan berbentuk krep, baulu, donut, kuih tiram, roti dan makanan tradisional seperti lempeng dan sagu gula Melaka.
“Mereka boleh mendapat pendapatan mencecah tiga hingga empat angka sebulan, bergantung kepada musim seperti waktu perayaan, cuti sekolah dan cuti umum,” katanya kepada Kosmo! di Lambor Kanan, di sini.
Robiatul memaklumkan, salah seorang suri rumah terlibat yang membekalkan makanan ala Timur, Thailand dan Barat di Rumah Kek tersebut mampu membayar deposit tinggi untuk membeli Perodua Bezza baharu bagi keperluan keluarga.
“Sebelum ini keluarganya hanya menggunakan sebuah Proton Saga Aeroback lama yang kerap perlu dibaiki, menyebabkan mereka berdepan kesukaran menguruskan kehidupan seharian.
“Namun kini, dia sekaligus dapat membantu menaik taraf kehidupan keluarga menerusi jualan kasar hasil tangannya di Rumah Kek ini yang pernah mencecah sehingga RM3,000 sebulan,” katanya.
Tambahnya, terdapat sekitar 20 vendor lain termasuk penduduk di kampung berhampiran turut menghantar makanan.
“Rumah Kek mampu menjana pendapatan kasar sehingga RM15,000 sebulan. Sebahagian kecil digunakan untuk membantu penduduk kampung yang tidak berkemampuan sekitar lima hingga 10 keluarga dengan bantuan makanan asas seperti beras, gula, teh, susu dan telur ayam, selain wang tunai sebanyak RM50.
“Kami juga menghulurkan bantuan tunai kepada anak-anak kampung yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan mendapat tawaran melanjutkan pengajian,” katanya.
Robiatul berterima kasih kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) atas pemberian bantuan oven industri yang memudahkan penghasilan produk makanan berkualiti dalam volum yang tinggi.
“Jabatan Pertanian dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah turut memberi kepercayaan dengan menyediakan peluang untuk mengikuti kursus berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain melibatkan kami dalam ekspo dan pameran sekitar daerah ini,” katanya.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Perak Tengah sebagai Koridor TVET Malaysia dengan antara tumpuan utamanya ialah Industri Asas Makanan.
Ia juga selaras dengan flagship kelima Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan dan 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.