PETALING JAYA – Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan pemikir besar negara, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-94 hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Prof al-Attas telah mempersembahkan karya akademik sebagai gagasan pensejarahan, tamadun dan makna besar ilmu yang terus mencerahkan umat hingga saat ini.
“Sebagai pemikir besar bangsa, Prof al-Attas tegas meneguh bahawa ilmu, selain sebagai aparat, adalah suatu wahana teguh untuk memartabat manusia, membentuk nilai dan adab, serta mendirikan kebenaran.
“Akar kekuatan bangsa bermula dari kefahaman jitu terhadap erti ilmu, dan betapa ilmu menuntun masyarakat ke arah kemuliaan insan,”tulis Anwar pada hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Pada hantaran sama, Anwar turut mendoakan agar generasi muda terus menelaah karya-karya Prof al-Attas sebagai panduan membina jiwa merdeka, selain menjadi benteng menghadapi penyimpangan pemikiran.
“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat, keberkatan dan kesihatan yang baik kepada beliau, sebagai hadiah atas peranan besarnya dalam mendidik kita menghargai ilmu, nilai serta maruah bangsa,” katanya. -KOSMO! ONLINE