LANGKAWI – Seorang penunggang basikal maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika menyertai acara kayuhan sejauh 68 kilometer di Jalan Kuala Muda, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Low Beng Seng, 28, yang menetap di sini meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
“Siasatan awal mendapati mangsa berkayuh bersama beberapa peserta lain di kelompok belakang sebelum dipercayai mengelak daripada bergesel dengan pelumba bersebelahan.
“Tindakan itu menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah hadapan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE