PETALING JAYA – Pengalaman menaiki bot kecil ketika berdepan cuaca ribut menjadi antara cabaran getir yang dilalui pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, 35.
Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin berkongsikan perkara itu dalam satu siaran langsung di TikTok pagi tadi.
Beliau yang merupakan salah seorang 15 rakyat Malaysia mengikuti misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza menyifatkan keadaan laut yang bergelora menguji ketahanan fizikal sukarelawan.
Malah, cabaran cuaca ribut itu menuntut kekuatan mental dalam diri setiap peserta bagi memastikan setiap misi kemanusiaan dapat diteruskan.
Ardell berkata, akibat cuaca ribut, badannya dipenuhi kesan lebam akibat terpelanting ketika berada di bahagian dek bawah bot.
“Ribut satu hari, habis seluruh badan lebam besar-besar tapak tangan disebabkan saya terpelanting ke pemegang besi dalam perjalanan nak ke tandas sebab ribut.
“Walau saya masa solat duduk, nak tunduk sikit untuk sujud, jatuh terhantuk kena fiber kapal. Kalau saya nak turun tu, terpelanting makanan. Malam ini juga dijangka cuaca ribut,” katanya.
Kongsinya lagi, cuaca buruk itu juga telah menyebabkan pemegang bot kecemasan telah bengkok dan patah sebelum dihanyut dengan ombak lautan.
Selain itu, Ardell berkata antara cabaran lain ialah makanan terpaksa dicatu untuk sembilan sukarelawan atas kapalnya bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga sampai ke Gaza.
“Ambil wudhuk, gosok gigi semua guna air laut masin. Sebab air bersih tinggal empat liter untuk kami.
“Saya seorang rakyat Malaysia dan Muslim berada dalam kapal kecil itu sebab memang kena diasingkan, bahaya kalau semua Muslim atas kapal.
“Jadi saya ditempatkan dalam kapal kecil, nak mandi pun tak boleh. Hanya lap badan, tidur pun perlu bergilir-gilir (dengan sukarelawan lain) dalam satu bilik kecil yang sangat sempit,” katanya.
Selebriti tanah air Ardell Aryana dan Zizi Kirana antara yang menyertai delegasi Malaysia dalam misi berkenaan.
Misi kemanusian GSF memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona, pada 31 Ogos dengan usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza.
Seramai 15 peserta daripada Malaysia telah menyertai misi bersejarah ini, pelayar yang tidak membawa senjata tapi hanya membawa bekalan bantuan untuk penduduk Gaza.- KOSMO! ONLINE