PETALING JAYA – Sukarelawan wanita diperlukan untuk menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bagi memastikan penyaluran bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Pendakwah, Rahmat Ikhsan Sofyan atau lebih dikenali PU Rahmat berkata lebih-lebih lagi mangsa perang di Gaza melibatkan ramai golongan wanita dan kanak-kanak.
Jelasnya, sukarelawan wanita diperlukan dalam misi ini bagi memberi kasih sayang kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu selain membantu untuk menyusukan mereka.
“Kalau nak tahu kapal kami penuh dengan susu formula, susu kalau sampai dekat Gaza, mereka (sukarelawan wanita) akan bancuh.
“Sebab itu kami bawa orang perempuan. Sebab itu kami bawa Zizi, bawa Ardell, perempuan kena sertai sebab bila sampai dekat Gaza nanti, yang nak peluk, yang bagi kasih seorang ibu, yang nak bagi minum kepada anak-anak mereka inilah,” katanya.
PU Rahmat berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai persoalan yang dibangkitkan beberapa pengguna media mengenai keperluan untuk membawa sukarelawan wanita.
Selebriti tanah air Ardell Aryana dan Zizi Kirana antara yang menyertai delegasi Malaysia dalam misi berkenaan.
Bercerita lanjut, PU Rahmat berkata dia berasa hiba apabila ramai mangsa perang terdiri daripada bayi menangis sampai hilang suara kerana kehausan.
“Anak-anak disana tiada susu, susu ibu kering sebab mereka tidak cukup zat makanan,” katanya.
Misi kemanusian GSF memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona, semalam dengan usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza.
Seramai 15 peserta daripada Malaysia telah menyertai misi bersejarah ini, pelayar yang tidak membawa senjata tapi hanya membawa bekalan bantuan untuk penduduk Gaza.- KOSMO! ONLINE