PETALING JAYA– Liputan internet di kawasan berpenduduk Sabah kini melonjak kepada 95.3 peratus setakat 31 Julai lalu, berbanding hanya 73.41 peratus sebelum Projek Jendela dilaksanakan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peningkatan itu hasil kerjasama rapat kerajaan dengan syarikat telekomunikasi utama termasuk CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan TM Tech.
Menurutnya, hasil ujian di Kampung Sepagaya menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara komunikasi di kawasan itu merekodkan kelajuan 300 Mbps bagi rangkaian 5G dan 80 Mbps bagi 4G.
“Lebih 3,800 penduduk di kampung ini kini menikmati liputan lebih laju dan stabil. Alhamdulillah, capaian Internet di Sabah semakin baik hasil usaha Jendela,” katanya di media sosial.
Dalam masa sama, semua penyedia perkhidmatan turut diarahkan menambah kapasiti rangkaian serta menyediakan bekalan kuasa sokongan seperti generator dan sistem hibrid solar menjelang Monsun Timur Laut.
Fahmi berkata, langkah itu penting kerana Kampung Sepagaya antara kawasan berisiko banjir ketika musim tengkujuh.- KOSMO! ONLINE