KLUANG – Seorang lelaki ditahan polis selepas melanggar tembok pagar rumah dan garaj kereta di Jalan Bunga Raya, Kampung Melayu, Simpang Renggam di kilometer 74, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berusia 21 tahun itu memandu kereta jenis Proton Wira dan datang dari arah Johor Bahru menuju ke Ayer Hitam.
Katanya, kira-kira pukul 11.30 malam, kereta dipandu lelaki berkenaan dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh tembok pagar rumah dan garaj kereta di kawasan kejadian.
“Lelaki itu yang tidak mempunyai lesen memandu dan bekerja di sebuah kilang ditahan polis pada pukul 12.42 tengah malam kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
“Lelaki itu juga dipercayai memandu dibawah pengaruh alkohol yang melebihi dari tahap ditetapkan dan sampel darah telah diambil oleh pihak Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk dihantar ke Jabatan Kimia,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin,, lelaki berkenaan telah direman selama dua hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45A(1) akta sama. – KOSMO! ONLINE