fbpx
Nur Maryam Suraiya ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas melecur hampir seluruh badan akibat terkena air panas di rumah pengasuh.

Kulit anak ‘masak’ kena air panas di rumah pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun melecur hampir seluruh badan selepas terkena air panas ketika berada di bawah jagaan pengasuhnya di Taman Ria, Sungai Petani Kedah pada 4 Ogos lalu.

Bapa mangsa, Mohamad Yusof Musa, 31, berkata anaknya disahkan doktor melecur 35 peratus selain perlu menjalani dua pembedahan termasuk graf kulit bagi menutupi luka besar tersebut.

Ujarnya, ketika kejadian dia menerima panggilan dari isterinya kira-kira pukul 10 pagi memaklumkan anaknya, Nur Maryam Suraiya cedera terkena air panas.

“Mula-mula saya ingat tak teruk, tapi bila tengok anak, saya jadi terkejut sebab melecur dari bahagian bahu belakang sampai ke bawah betis.

“Masa saya pegang anak, di bahagian pinggang dia tu kulit dah ‘masak’ sampai melekat-lekat di tangan saya. Terus saya gegas bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Katanya anak kedua daripada tiga beradik itu dimasukkan ke unit rawatan rapi oleh kerana keadaannya yang kritikal sebelum dipindahkan ke wad biasa selama sebulan untuk pemantauan.

Sejak itu, Mohamad Yusof berkata, anaknya sering menangis kerana trauma selain mengadu sakit akibat tidak selesa lebih-lebih lagi sewaktu memakai baju.

“Saya ada juga tanya anak, apa yang berlaku pada hari kejadian. Tetapi dia seolah-olah trauma, tak mahu ingat apa yang jadi. Sampai sekarang dia tidak bercerita kepada kami.

“Pengasuh itu pun ada jaga anak sulung kami berusia tiga tahun. Masa kejadian anak sulung ada, tapi biasalah budak lagi kan apabila tanya dia cuma kata ‘adik terkena air panas,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Yusof yang merupakan peniaga aksesori kereta berkata, tiada sebarang kecederaan pada anaknya ketika pengasuh berusia 20-an itu menjaga sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, sejak sebulan lalu dia mendapat tahu beberapa kali pengasuh tersebut meninggalkan anak-anaknya bersendirian di rumah.

“Sejak ibu pengasuh meninggal, dia mula berniaga laksa. Sejak itu juga beberapa kali ‘kantoi’ dengan saya bila ambil anak dia tiada di rumah. Masa itu memang saya tak mahu hantar dah pada dia.

“Tapi dia merayu pada saya sebab katanya itu sahaja sumber pendapatannya selain dia turut menjaga seorang lagi bayi. Pengasuh tidak mempunyai sebarang cahaya mata,” katanya.

Lebih mengecewakan, Mohamad Yusof berkata, sehingga kini dia tidak mendapat penjelasan sewajarnya daripada pengasuh tersebut mengenai situasi sebenar pada hari kejadian.

“Mula-mula dia (pengasuh) kata terkena air panas dari jug air. Lepas itu kenyataan pada polis pula dia kata anak terjatuh dalam periuk air panas yang diletak atas lantai.

“Sampai sekarang kenyataan dia berubah-rubah dan kami tak dapat sebarang kata maaf langsung daripada dia. Di WhatsApp pun dia sudah ‘block’ saya,” katanya.

Tambahnya, pengasuh tersebut akan didakwa di Mahkamah Sungai Petani pada 29 September ini selain mengharapkan keadilan sewajarnya buat anaknya.

“Kalau dia (pengasuh) masuk penjara pun, trauma anak kami tidak akan hilang, kesan melecur pun akan kekal selama-lamanya. Tapi apa-apa pun, saya mahukan keadilan.

“Anak saya yang sihat yang saya hantar tanpa sebarang cacat cela perlu menanggung kesan ni seumur hidup,” luahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI