fbpx
NORA memberi bayangan seolah-olah hatinya kini sudah dimiliki seseorang apabila memuat naik foto lelaki berkopiah yang dipercayai sedang mengerjakan ibadah umrah.

Kecoh spekulasi cinta Nora Danish, Mickey Ayo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH setahun bergelar ibu tunggal, spekulasi hati pelakon Nora Danish sudah dimiliki jejaka dikenali sebagai Mickey Ayo membuatkan peminat tidak keruan.

Tumpang gembira mendengar khabar biarpun tuan punya badan belum sedia membuat pengesahan dan sekadar memberi bayangan menerusi hantaran dalam media sosial sudah cukup menggambarkan fasa baharu ditempuhinya.

Perkongsian itu jelas menunjukkan pemilik nama sebenar Nora Danish Mohd. Hanif itu sedang meniti fasa bahagia dan tidak mampu menyembunyikan perasaan sebenarnya.

Apatah lagi menerusi maklum balas sejurus selepas bertebaran spekulasi di laman maya membuktikan ada sesuatu antara Nora dan perunding kewangan itu, cuma mungkin belum masa untuk berbicara secara umum soal hati.

Nora, 43, ketika dihubungi HibGlam memaklumkan, apa yang dikongsikan dalam media sosial masih terlalu awal untuk digembar-gemburkan.

“Terima kasih mendoakan. Tapi, masih jauh lagi perjalanan ini. Tiada maksud apa-apa pun gambar itu,” katanya ringkas menerusi balasan di WhatsApp.

Terdahulu, gosip cinta tersebut muncul selepas wanita dua anak itu membuat satu perkongsian foto yang memaparkan momen sepanjang Ogos termasuk gambar seorang lelaki berkopiah dan berkaca mata.

Disertai satu kapsyen pendek namun sarat makna, Nora turut berkongsi perjalanan lelaki dipercayai asal Dungun, Terengganu yang dipaparkan separuh wajah sedang mengerjakan ibadah umrah.

Bab baharu

“Satu bab baharu, Bismillah,” kongsinya dalam Instagram Isnin lalu.

Berdasarkan pemerhatian, foto individu berkopiah yang dikongsi Nora seakan-akan sama dengan hantaran dimuat naik Mickey di akaun Instagram miliknya.

Menguatkan andaian ramai, Nora juga dilihat kerap meninggalkan tanda suka pada hantaran lelaki tersebut, sekali gus menguatkan dakwaan mereka lebih daripada kenalan biasa.

Seakan-akan mengesahkan keakraban mereka, Mickey yang juga perunding kewangan turut memberikan petunjuk jelas atas desas-desus yang menjadi bualan hangat di media sosial.

Menerusi ‘risikan’, lelaki berstatus duda itu dilihat berkongsi pula beberapa foto sepanjang Julai yang turut didakwa terselit gambar bersama Nora.

Antara foto dikongsikan kelihatan tangan seorang wanita yang memakai tasbih digital dipercayai Nora sedang menikmati hidangan berdua.

Susulan itu, hantaran Mickey dibanjiri dengan komen netizen yang merestui dan menginginkan pengakhiran baik buatnya dan Nora.

Peminat restu?

Masih mencari jawapan pasti, netizen terus menyelidiki akaun Mickey untuk lebih mengenali latar belakang lelaki itu dengan lebih dekat.

Menerusi carian, individu yang didakwa berusia lebih muda daripada Nora iaitu akhir 30-an dilihat aktif bersukan termasuk menyertai maraton.

Usaha media mendapatkan maklum balas bapa tunggal kepada dua anak itu juga belum berhasil apabila dia tidak membalas mesej langsung (DM).

Begitupun, mereka yang mengikuti perkembangan khabar gembira ini tidak ketinggalan menitipkan doa agar dipermudahkan urusan Nora dan Mickey andai benar dakwaan dalam proses mengenali hati budi.

Malah, peminat turut berpesan kepada Mickey supaya menjaga serta memastikan perasaan artis kesayangan mereka itu diutamakan dan menariknya, dia memberikan tanda suka terhadap komen berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI