fbpx
TANG Jie dan Ee Wei fokus untuk meningkatkan semula stamina sebelum kembali menyertai saingan.

Juara dunia tarik diri Terbuka Hong Kong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONDISI kurang sempurna selepas menamatkan Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis minggu lalu memaksa beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menarik diri daripada Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini.

Selain itu, kurang latihan sejak kembali dari Paris Selasa lalu turut menjadi antara punca juara dunia berkenaan memilih untuk menarik diri dan memberi tumpuan terhadap kejohanan akan datang.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak menghantar Tang Jie-Ee Wei ke Hong Kong bagi membolehkan pasangan No. 3 dunia itu kembali mendapatkan stamina.

“Untuk Terbuka Hong Kong, memang kita batal untuk menghantar Tang Jie-Ee Wei ke Hong Kong. Pada awalnya, mereka memang nak pergi ke sana tetapi kelmarin mereka cakap kondisi agak kurang, terutamanya Ee Wei.

“Kurang latihan juga menjadi punca. Kalau pergi ke sana, mungkin akan penat, jadi kita tarik diri disebabkan oleh kondisi dan fokus China (Masters),” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Ahad lalu, Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah baharu arena sukan negara apabila menjadi beregu campuran pertama Malaysia menjadi juara dunia selepas menewaskan gandingan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Menerusi kejayaan muncul dunia, juara Terbuka Korea tahun lalu itu boleh dianggap berada dalam keadaan selepas selepas mendapat slot automatik ke Jelajah Dunia Akhir 2025 di Hangzhou, China Disember depan.

Justeru, Nova menyifatkan keputusan untuk menggugurkan nama anak-anak buahnya itu memberi peluang kepada mereka bagi mengembalikan tahap kecergasan selain melakukan persiapan bagi menghadapi China Masters pada 16 hingga 21 September ini.

“Setelah melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir, kita akan tengok dahulu kejohanan-kejohanan yang akan disertai nanti. Mungkin fokus pada Jelajah Dunia Super 750 atau 1000 sahaja,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN