KOTA BHARU – Tiada sebarang cadangan buat masa ini untuk mendakwa individu lain di mahkamah berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir memandangkan prosiding inkues masih berjalan.
Peguam Negara, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, tumpuan ketika ini adalah kepada keterangan lima pelajar perempuan yang dikaitkan dengan kejadian berkenaan.
“Setakat ini, tiada cadangan untuk menuduh mana-mana individu dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas inkues selesai.
“Ketika ini, inkues sedang berjalan lancar dengan keterangan daripada berdasarkan keterangan doktor Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Jessie Hiu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara 2025 di Kampung Padang Tembak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Dusuki memberitahu, pihaknya juga sedang meneliti kandungan media sosial termasuk komen dan video di TikTok sebelum membuat sebarang keputusan berhubung isu berkenaan.
Katanya, semua pihak mengharapkan inkues dapat diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak polemik dalam kes tersebut berpanjangan. – KOSMO! ONLINE