JOHOR BAHRU – Harimau Malaya tidak akan ‘berlembut’ dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Palestin yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Isnin ini walaupun negara itu dalam kancah peperangan.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski berkata, pertemuan menentang Palestin itu melibatkan perlawanan bola sepak yang mana setiap pemain membawa nama dan maruah negara masing-masing.
“Kami menjangka satu lagi perlawanan sukar menentang lawan dengan gaya permainan yang berbeza berbanding Singapura, apa yang penting adalah kita ambil pengajaran daripada kemenangan 2-1 menentang Singapura, kelmarin.
“Ini perlawanan bola sepak, ia tentang dua pasukan yang akan bermain sehabis baik bagi memberikan kebanggaan kepada negara masing-masing. Ia satu penghormatan dan keterujaan buat kedua-dua pasukan,” katanya.
Tambah Cklamovski, pihaknya yakin mampu ‘menundukkan’ Palestin, namun anak buahnya perlu menjalani beberapa proses sebelum mampu mencatat kemenangan keatas pasukan yang berada di kedudukan ke-98 dunia itu.
“Antara proses itu adalah menilai prestasi perlawanan lalu, berehat, lakukan analisis dan tambah baik kelemahan yang ada. Kami percaya proses ini perlu dilalui kerana kemenangan tidak akan hadir tanpa usaha dan kerja keras,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE