KLANG – Suasana di Pulau Ketam di sini, gempar apabila dua buah rumah kayu musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di kawasan Bagan Tau Chu.
Tindakan pantas bomba bagaimanapun berjaya memadam kebakaran daripada merebak dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan Bomba Sukarela Pulau Ketam menyertai operasi pemadaman itu sejurus menerima panggilan kecemasan berhubungnya.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah kelas C berkeluasan 40 x 40 kaki persegi yang musnah sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dilakukan pasukan bomba sukarelawan dengan menggunakan dua pam, empat hos dan satu nozel,” katanya.
Tambah Ahmad Mukhlis, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 12.30 tengah hari dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE