fbpx
David Balisong

David Balisong balik ke UK hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis mengesahkan tiada elemen jenayah atau salah laku dikaitkan dengan kes kehilangan seorang remaja warga Britain yang ditemui semula di sebuah hotel di Jalan Pudu, baru-baru ini selepas dilaporkan hilang sejak Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kes berkenaan telahpun selesai selepas remaja tersebut diserahkan semula kepada ibunya semalam sebelum pulang ke negara asalnya hari ini.

“Remaja itu telah diserahkan kepada ibunya setelah pihak polis selesai menjalankan siasatan,” katanya, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan David Balisong, 17, ditemui sekitar pukul 7 malam oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat yang diperoleh daripada aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang.

Hasil siasatan mendapati, remaja itu meninggalkan rumah dan berkunjung ke Malaysia pada awal Jun berikutan perselisihan faham dengan ahli keluarganya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, daripada keterangan awal, remaja berkenaan membuat keputusan untuk keluar rumah kerana tidak sefahaman dengan keluarga sebelum menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu.

Sebelum itu, media antarabangsa melaporkan pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester tersebut bertindak meninggalkan rumah pada tarikh sama dengan alasan mahu menguruskan hal berkaitan sekolah.

Namun, beliau sebenarnya menaiki pesawat seorang diri dari Manchester ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan keluarga selain mematikan telefon bimbit serta tidak lagi membalas e-mel yang dihantar oleh mereka.

Kali pertama remaja itu menghubungi ibunya semula adalah pada 9 Julai lalu melalui sepucuk e-mel, memohon agar keluarganya tidak terlalu bimbang, berpesan supaya mereka terus berjaya dalam kehidupan serta meminta maaf atas tindakannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI